Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran (Al-Asr: 1-3)

Sunday, November 4, 2012

Ujian anak

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya buka entry saya dengan dialog antara saya dan sahabat saya.

Akak sedih dengan Alang. Alang tak sama dengan abang2 dia.
Kenapa?
Hari tu dia periksa dapat no. 20. 
Ok. so?
Yelah, pertengahan penggal hari tu dia no 1. Terus drop! Akak marah dia sungguh2!
Kenapa? Tu kan no je.
Akak risau. Dulu kelas 1A, 2A, 3A, sekarang 4B. Dia dapat no 20 boleh meletakkan dia dalam kelas 5C. Akak taknak!
Kan kita dah baca buku prof kamil? Prof Kamil tak marah pun anak dia dapat 4B. Anak profesor 4B? Siap sujud syukur bagai...

Sahabat saya menangis.

Benar. Penulisan Prof Kamil dalam bukunya 'Bersyukur Saat Diuji' mengajar saya banyak perkara. Dan ia termasuklah tentang perkara seumpama ini. 

Apabila membaca status Wardina Safiyyah di dalam fb, katanya:
"Kepada semua adik-adik yang menduduki SPM, selamat menjawab soalan dan berjaya, A itu penting namun ianya BUKAN segalanya. Moga anak-anak kita mendapat A dalam akhlak, adab, perangai dan A ketika membuat keputusan dalam kehidupan mereka. Ingat, ada bermacam-macam cara untuk sampai ke destinasi "kejayaan"..BUKAN hanya dengan SPM. Cuba yang terbaik, namun perlu kita akur ada anak-anak yang tidak cemerlang 'akademik' namun mereka boleh cemerlang di bidang lain. Jangan label mereka 'tidak pandai'..kerana mereka PANDAI dengan cara lain. Asah bakat dan minat mereka mengikut 'kepandaian' mereka"

Saya merupakan produk yang membesar dengan meletakkan 'ranking', 'nombor' dan 'gred' sebagai faktor kejayaan. Saya pernah menangis berhari2 hanya kerana mendapat B dan tidak A dalam subjek Kimia saya. Saya pernah merajuk dengan emak saya hanya kerana emak yang terlalu bangga anaknya memperoleh 3A 1B dalam UPSR sedangkan kawan2 saya yang lain memperoleh 4A. Pada waktu itu, A, no 1, top 5, dean list adalah segala2nya buat saya. Kalau tak dapat semua ini, saya tidak akan berjaya, saya tidak akan dapat kerja, saya tidak akan dapat gaji besar! TIDAK AKAN!

Benarkah?

Hakikatnya saya tidak pernah berjaya. Saya A dalam subjek Kimia namun saya E dalam solat. Saya A dalam subjek Matematik namun saya E dalam aurat. Saya dean list untuk 4 semester berturut2 namun saya corot dalam akhlak. Saya top 5 student melayu yang cemerlang namun saya paling bottom dalam agama. Saya telah mengalaminya! Saya sudah merasainya!

Cukup! Saya mahu belajar sepertimana Prof Kamil lakukan pada anaknya, Amirul. Saya mahu belajar bersyukur untuk setiap perkara. Anak saya mungkin tidak A dalam subjek2 akademik, namun saya sentiasa berdoa mudah-mudahan anak saya akan memperoleh A untuk 'subjek2' yang dapat membantu saya dan suami serta ahli keluarga lain di akhirat nanti. Ia sukar untuk diukur. Ia infiniti. Ia merupakan pembelajaran berterusan dan tidak ada konsep PhD. Ringkasnya, seperti yang dikatakan oleh Prof Kamil, semoga anak2 kita menjadi anak yang soleh dan solehah agar menjadi peninggalan yang akan membantu kita apabila dihisab nanti.

Saya ini juga manusia biasa. Apabila melihat anak2 orang lain cemerlang dalam akademik dan mendapat no 1 di sekolah mereka, sedangkan anak saya 'belajar gitu2 je' untuk akademik, hati mudah berbolak-balik. Perasaan risau tiba2 hadir. Adakah saya tidak seimbang? Adakah betul ini jalannya?

Mama, Naufal dapat 68 je Bahasa Arab. Mama marah?
Tak. Naufal hebatlah tu. Mama sampai sekarang taktau langsung Bahasa Arab.
Mama, Naufal lupa nak jawab 1 muka surat. Naufal dapat 70 je fekah. Mama marah?
Alhamdulillah syukur....Naufal darjah 1 dah pandai masbuk, dah hafaz quran, Mama dulu surah Al-Takasur pun tak tau.

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. Saya tahu Allah sedang menguji saya, adakah saya akan memarahi anak saya atau bersyukur?

InsyaAllah...untukMu Allah, aku sedang belajar bersabar dan bersyukur dengan setiap ujian dan nikmat yang Kau berikan padaku. InsyaAllah semua anak2 kita menjadi dan tiada istilah anak yang 'tidak menjadi'.

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda yang diingini oleh nafsu ialah perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan ternakan serta kebun. Semuanya ialah kesenangan hidup di dunia (Al-Imran: 14)"





No comments:

Post a Comment